Piala AFF: Harimau harus menang selesa atasi Vietnam – Khairy

BERITA HARIAN

JOHOR BAHRU: Skuad Harimau Malaya harus memenangi saingan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki bertemu Vietnam di Stadium Shah Alam, malam ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar beranggapan ia penting bagi memastikan slot ke perlawanan akhir dan seterusnya menutup episod tahun ini dengan kemenangan membawa pulang piala berkenaan.

Beliau menambah, pasukan negara perlu memastikan tekanan diberikan kepada pasukan lawan berikutan kelebihan beraksi di laman sendiri dan membawa bekalan selesa ke tempat lawan.

“Saya harap Harimau Malaya dapat mencari kemenangan selesa di Shah Alam esok, sebab kita hendak membawa keputusan selesa ke Hanoi, Vietnam. Strateginya, biar mereka kejar kita di tempat lawan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Townhall bersama belia anjuran Barisan Nasional Youth Volunteer (BNYV) Johor di sini, sebentar tadi.

Khairy berkata kemenangan selesa Harimau Malaya esok akan memberi tekanan kepada Vietnam untuk beraksi cemerlang pada separuh akhir kedua di Hanoi.

“Biar tekanan itu kepada mereka dan bukan kita. Jika kita hendak memberi tekanan kepada mereka, pastikan esok kita memperoleh kemenangan selesa sekurang-kurangnya 2-0,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Post Navigation