Kenapa Perikatan sudah tidak mengikat

Parti Perikatan & Barisan NasionalMalaysia sejak mencapai kemerdekaan pada 1957 telah mengangkat ide politik konsosiasional (consociational politic) melalui Parti Perikatan. Politik konsosiasional atau politik permuafakatan ini telah diperkenalkan oleh Arend Lijphart yang mengariskan demokrasi konsosiasional secara dasarnya ialah satu persefahaman di kalangan pemimpin masyarakat untuk berkongsi kerajaan. Arend Ljiphart juga mentakrifkan empat ciri-ciri politik konsosiasional: (1) Terdapat satu gabungan besar di kalangan semua kumpulan etnik (2) veto bersama dalam membuat keputusan (3) Kesimbangan kadar agihan peluang terhadap etnik-etnik dan (4) autonomi seimbang.

Teori politik konsosiasional merupakan amalan sistem politik yang digunakan oleh kebanyakan negara-negara yang mempunyai masyarakat majmuk dan Malaysia adalah salah satu daripanya. Mengikut kajian yang dilakukan oleh Nordlinger, sebanyak 77 buah negara sedang membangun yang mempunyai kepelbagaian masyarakat mendapati sistem politik ini telah berjaya dalam mengekalkan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi. Bahkan Arend Ljiphart juga menamakan Surinam, Cyprus dan Malaysia sebagai negara-negara dunia ketiga yang berjaya dalam mengadakan teori politik konsosiasional ini.

Keunikan ide  politik konsosiasional dalam BN adalah setiap parti-parti yang berada dibawah naungan BN membawa suara-suara etnik masing-masing.  Ramai yang berpendapat bahawa struktur politik etnik yang dibawa oleh parti-parti komponen dalam BN perlu dikaji semula namun struktur politik Malaysia masih belum kualitatif untuk beralih daripada politik etnik kepada politik berasaskan ideologi. Parti-parti komponen BN telah memilih untuk mengekalkan paradigma politik perkauman ataupun politik berasaskan etnik yang telah mereka pegang selama ini.

Walau bagaimanapun, pasca pilihan raya 2008 yang menunjukkan kegagalan Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen memberi isyarat jelas bahawa ide politik konsosiasional perlu dikaji semula. BN perlu melihat kegagalan ini secara jujur dan telus. Tidak dapat dinafikan antara faktor utama ide politik konsosiasional dalam BN gagal untuk menarik minat pengundi terutama pengundi muda adalah kerana parti UMNO dilihat sebagai parti yang terlalu dominan dalam BN sehingga wujud persepsi bahawa UMNO adalah parti yang membuat keputusan mutlak kerajaan.  Persepsi ini wujud hasil kebangkitan media sosial yang memberikan ruang awam baharu kepada massa.

Namun, dalam era pasca modenisme, rakyat sudah semakin matang untuk menilai dan membuat artikulasi sendiri terhadap maklumat-maklumat yang mereka terima. Media sosial melahirkan masyarakat yang celik maklumat dan kerap kali persepsi menjadi aspek penting dalam politik massa.  Ide politik konsosiasional dan perkongsian kuasa yang diamalkan oleh BN telah membenarkan perbincangan dan keputusan dibuat oleh golongan elit sahaja yang mewakili etnik yang kerap kali tidak mewakili pendapat majoriti ahli etnik yang mereka wakili. Justeru, terdapat keperluan untuk BN mengubah falsafah politik mereka dari demokrasi konsosiasional kepada demokrasi deliberatif (deliberative democracy) atau demokrasi secara berunding.

Konsep demokrasi deliberatif adalah suatu konsep dimana perbincangan adalah aspek penting untuk membuat sebarang keputusan. Ia menerima pakai unsur-unsur kesepakatan untuk membuat keputusan dan pemerintahan majoriti. Perbincangan yang dimaksudkan adalah  keperluan untuk mendengar pandangan daripada khalayak umum secara keseluruhan yang tidak hanya diwakili oleh golongan elit yang menjadi wakil sesuatu etnik. Jürgen Habermas memperkenalkan konsep demokrasi deliberatif (deliberative demokratie) yang mengangkat dan menekankan bahawa bukanlah jumlah kehendak-kehedak individual (golongan elit) dan juga bukanlah sebuah ‘kehendak umum’ yang merupakan sumber legitimasi, melainkan sumber legitimasi itu adalah proses formasi deliberatif, penghujahan-diskursif suatu keputusan politis yang ditimbang bersama-sama yang mana sentiasa bersifat sementara dan terbuka untuk diperbaiki. Dalam kata lain, Jürgen Habermas memaksudkan, demokrasi deliberatif adalah sebuah radikalisasi dari demokrasi itu sendiri.

Satu tindakan berani harus dilakukan oleh BN bagi memastikan kehadiran mereka dalamkancah politik Malaysia terus relevan dihati rakyat. BN harus menyediakan ruang awam yang lebih luas kepada khalayak. Tugas menyediakan ruang awam untuk perbincangan mahupun perdebatan ini harus juga disambut oleh kesemua parti-parti komponen yang lain dan tidak hanya UMNO. Ini bagi memastikan parti-parti komponen ini dilihat terus relevan dan mewakili suara majoriti etnik yang mereka wakili. Teori politik baharu dan matang harus diberikan ruang secukupnya. BN juga seharusnya membuka ruang alternatif kepada khalayak yang muak dengan politik etnik yang sudah lapuk. Jika sekiranya BN bersedia untuk membawa politik berasaskan ideologi, gabungan ini harus membuka ruang keahlian kepada khalayak umum untuk bersama berpartisipasi. Jika BN tidak berani untuk membuat anjakan dan berterusan untuk mengekalkan status quo mereka politik berasaskan etnik akan kehilangan banyak dinamisme dalam pilihan raya dan tidak berkesan untuk memujuk masyarakat Melayu dan bukan Melayu untuk terus bersama gabungan mereka.

Firdaus Samad

Februari 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Post Navigation