Drama Pengampunan DSAI Bermula!

sultan-abdul-halim

Drama. Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) pada hari Isnin, 23 Februari dengan sombongnya enggan memohon pengampunan daripada Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) berhubung hukuman 5 tahun penjara kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari. Perkara ini disampaikan sendiri oleh peguam DSAI, Ramkarpal Singh  yang menyatakan bahawa pihaknya hanya akan memfailkan semakan kehakiman (“judicial review”) dan tidak menerima sebarang arahan daripada DSAI untuk memfailkan petisyen pengampunan.

TETAPI, tiba-tiba, keesokkan harinya, 24 Februari 2014, yang juga merupakan hari ke-14, hari terakhir dimana DSAI boleh memfailkan petisyen pengampunan, isterinya Datin Seri Wan Azizah berserta anak-anaknya YB Izzah & Nurul Nuha telah ke Istana Negara bagi menyampaikan  petisyen permohonan pengampunan Diraja.

Adakah proses pengampunan ini adalah satu strategi DSAI dan keluarga untuk melakukan penangguhan pelaksanaan ?

Apa maksud disini? Maksudnya adalah selagi mana proses pendengaran dihadapan Lembaga Pengampunan  dan YDPA ini belum dijalankan dan diputuskan, maka DSAI masih merupakan Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat walaupun DSAI terpaksa menjalani hukuman di dalam penjara.

Langkah ini saya anggap sebagai satu strategi ‘membeli masa ‘dimana PKR dan Pembangkang sedang dalam usaha membuat satu kempen antarabangsa di Indonesia dan Australia bagi mendapatkan sokongan bagi membebaskan DSAI melalui desakan antarabangsa. Tetapi saya percaya bahawa Malaysia tidak akan termakan dengan desakan-desakan sebegitu, cuma nama baik Malaysia akan sedikit terjejas di mata antarabangsa.

Siapa Terlibat Dalam Lembaga Pengampunan?

Berbalik kepada cerita minta ampun, siapa sebenarnya yang mengisi komposisi kerusi Lembaga Pengampunan ini? Lembaga Pengampunan ini akan terdiri daripada Peguam Negara atau wakilnya, Menteri Wilayah Persekutuan dan sekurang-kurangnya tiga ahli yang dilantik selain daripada YDPA sendiri.

Sebenarnya, didalam Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menerangkan secara jelas tentang kaedah atau prosedur yang harus digunakan kerana peranan pengampunan ini sering dipandang sepi oleh masyarakat dan adalah diluar bidang undang-undang biasa. Maka, ia jarang-jarang sekali ia digunakan.

Mungkin, jika yang ada masih ingat kepada kes Mona Fendy, suaminya Afandi dan pembantunya Juraimi telah membunuh seorang ADUN di Pahang pada tahun 1993. Kes itu berlanjutan ke Mahkamah Agung (yang kini dikenali sebagai Mahkamah Persekutuan) pada tahun 2001. Salah seorang daripada mereka iaitu Juraimi telah memfailkan petisyen pengampunan dibawah Duli YMM Sultan Pahang, namun petisyen pengampunannya ditolak.

Melalui pengamatan kes itu, tiada tempoh masa yang ditetapkan untuk Lembaga Pengampunan membuat keputusan, dan ia secara jelas merupakan budibicara YDPA/Sultan dan Lembaga Pengampunan itu yang menentukan keputusan pengampunan tanpa campur tangan pihak-pihak lain.

UMNO telah mula menyerang

Ramai pahlawan UMNO cuba memberi respon negatif kepada tindakan keluarga DSAI memfailkan petisyen pengampunan ini. Antaranya Datuk Puad Zarkashi, Datuk Razali, Datuk Seri Ismail Sabri dan lain-lain. Perjuangan UMNO sering menekankan aspek hak orang Melayu, dan hak-hak yang lain. Apa yang berlaku juga merupakan hak DSAI dan keluarga untuk memohon pengampunan dan hak ini termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara  42. (1) yang menyatakan bahawa  Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan. Maka hak ini perlulah dihormati dan tidak dipolitikkan.

Maka secara jelas, ia merupakan hak DSAI dan keluarga untuk berbuat demikian dan kita haruslah menghormatinya. Apa yang perlu diambil perhatian serius adalah keputusan yang akan dibuat oleh YDPA adalah berdasarkan budibicara penuh YDPA atas nasihat daripada Lembaga Pengampunan yang telah dibentuk.

Apa akan jadi jika YDPA & Lembaga Pengampunan tidak menyebelahi DSAI?

Akan ada tiga (3) kemungkinan bilamana kes ini dibawa ke Lembaga Pengampunan, pertama, sama ada DSAI diampunkan dan dilepas, atau kedua, DSAI tidak diampunkan tetapi dikurangkan hukuman atau ketiga tidak diampunkan dan menjalani hukuman seperti yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Apa yang saya harapkan agar DSAI dan parti pembangkang tidak bersifat biadap dengan mempersoalkan kewibawaan YDPA dan Lembaga Pengampunan jika keputusan tidak menyebelahi mereka. Jika keputusan Mahkamah mereka tidak terima, dan sanggup mengangkat slogan “Rakyat Hakim Negara”, saya harap tiada istilah “Rakyat Raja/Agong Negara” atau istilah-istilah yang mengherdik insitusi Raja Berperlembagaan. Semua pihak perlu mengawal emosi akan tidak melampaui norma-norma yang sepatutnya.

Apakah drama seterusnya? Menarik untuk disaksikan.

Ahmad Solehin Abd Ghani adalah seorang peguam dan merupakan Koordinator BNYV Negeri Johor

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan BNYV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Post Navigation