BNYV anjur Program Amal Baju Raya

1503963_655223287889342_7655473177546012686_n 1907776_655223194556018_7619033219274815621_n

UTUSAN MALAYSIA

JOHOR BAHRU 12 Julai – Sempena Aidilfitri yang bakal menjelang dua minggu lagi, Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV) sebagai sebuah pertubuhan sukarelawan anak muda di bawah Barisan Nasional (BN) mengambil inisiatif menggerakkan kutipan sumbangan baju raya secara besar-besaran di seluruh negara.

Pengarah BNYV Malaysia, Akmal Saufi Mohamed Khaled berkata, inisiatif dinamakan Program Amal Baju Raya 2014 itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan menerusi sumbangan berbentuk pakaian sempena menyambut Syawal tidak lama lagi.

“Bagi menjayakan program tersebut kami telah melakukan kerja-kerja mengumpul sumbangan baju raya sejak 16 Jun lalu dan dijadualkan berakhir pada 15 Julai ini. Selain kawasan Lembah Klang, program ini turut dijalankan di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Johor sendiri.

“Bagi kami, sebagai sebuah negara yang sedang menuju ke arah sebuah negara maju, sifat kemanusiaan tidak sesekali boleh dipandang mudah kerana merupakan salah satu ramuan memastikan sesebuah negara itu mempunyai roh, harmoni dan bersatu padu,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Akmal Saufi yang merupakan anak kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, BNYV yang ditubuhkan pada 2012 kini mempunyai 8,000 ahli dengan fokus keahlian adalah yang berumur 35 tahun ke bawah.

Menurut beliau, jumlah sumbangan yang diterima menunjukkan nilai-nilai murni khususnya unsur-unsur kemanusiaan begitu subur dalam kalangan anak muda negara ini selain pelbagai aktiviti lain yang turut dianjurkan BNYV seperti memberi makan warga gelandangan.

“Kami anggap ini merupakan sokongan padu seluruh masyarakat di negara ini dan akan terus menjayakan usaha membantu masyarakat dengan nafas baharu. BNYV mengalu-alukan penyertaan sukarelawan yang hendak membantu proses kutipan dan agihan sumbangan,” katanya.

Tambahnya, antara lokasi bagi kutipan sumbangan di Lembah Klang adalah di Shah Alam, Damansara, Kajang, Ampang, Bangsar dan Subang, malah orang ramai boleh menyampaikan terus sumbangan kepada sukarelawan bertugas atau menghantarnya ke lokasi-lokasi kutipan.

Sebarang maklumat terkini mengenai program boleh diikuti di laman Facebook www.facebook.com/bajurayakita atau di akaun Twitter @BNYVMY.