“BNYV Prihatin Harga Selepas GST” – Sinar Harian

IMG-20150308-WA0017

 

Source: http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/johor/bnyv-prihatin-harga-selepas-gst-1.366448

JOHOR BAHRU – Sukarelawan Muda Barisan Nasional (BNYV) mengedarkan naskhah Buku Panduan Harga Pengguna melibatkan jenis barangan selepas sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan 1 April ini, semalam.

Buku panduan itu diedarkan Pengarah BNYV Malaysia, Akmal Saufi Mohamed Khaled bersama ahli sukarelawan lain kepada golongan sasaran di Pasar Tani Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, di sini.

Akmal Saufi berkata, buku menyenaraikan harga barangan sebelum dan selepas GST diperkenalkan itu diedarkan bagi memberi kefahaman jelas kepada masyarakat di negeri ini, dan tindakan boleh diambil akan datang.

“BNYV bukan mengedarkan buku panduan ini semata-mata, tetapi lebih kepada memberi maklumat kepada orang ramai khusus dalam keadaan harga barang tidak menentu, kemiskinan bandar yang berlaku dan kos sara hidup meningkat terutama di bandar.

“Atas sebab itu kita mahu orang ramai khususnya pengguna diberi pengetahuan harga barangan sebelum dan selepas GST, sementara peniaga pula menjadi lebih bertanggungjawab dengan mematuhi panduan harga ditetapkan kerajaan,” katanya semalam.

Beliau berkata, Johor Bahru merupakan lokasi kedua selepas Ampang dan Kuala Lumpur, malah BNYV dijangka membantu kerajaan mengedarkan buku panduan berkenaan ke zon Timur Semenanjung Malaysia selain Sabah Sarawak.

“Kita mahu naskhah ini sampai ke pihak sepatutnya termasuk orang muda di universiti dan kolej. Di Johor, kita akan ke daerah lain dengan bantuan sukarelawan dan inisiatif ini akan dilakukan berterusan termasuk selepas GST dilaksanakan.

“Sambutan diberikan masyarakat hari ini sangat baik, malah ada pengguna dan peniaga bertanya mengenai harga barangan sebelum dan selepas GST secara terus kepada saya dan sukarelawan BNYV lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Akmal Saufi memberitahu, pihaknya akan menubuhkan pasukan guaman BNYV bagi membantu masyarakat mendapatkan khidmat nasihat guaman secara percuma.

“Tidak lama lagi kita akan lancarkan, ini kerana terdapat persepsi masyarakat bahawa khidmat nasihat guaman mahal, tetapi BNYV cuba bantu memberi khidmat nasihat secara percuma.

“Bantuan yang boleh diberikan adalah nasihat dari sudut wasiat, faraid, pekerjaan dan maklumat guaman. Rata-rata sukarelawan BNYV yang berada dalam pasukan guaman ini terdiri daripada peguam muda,” katanya.

– SINAR HARIAN

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Post Navigation