BNYV Bantu Beri Penerangan Impak CBP Kepada Generasi Muda

IMG_0561Source: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1114890

JOHOR BAHARU, 7 Mac (Bernama) — Sukarelawan Muda Barisan Nasional (BNYV) akan turun padang memberikan penerangan kepada generasi muda mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) termasuk impaknya terhadap harga barangan.

Pengarah BNYV Akmal Saufi Mohd Khaled berkata penerangan itu perlu untuk memastikan mereka dapat membeli barangan keperluan pada harga sepatutnya selepas pelaksanaan sistem percukaian baharu itu.

“Selain barangan keperluan asas, kita juga akan memberi penerangan mengenai impak CBP terhadap perkara lain yang banyak beri kesan kepada generasi muda seperti harga tambah nilai telefon bimbit, alat tulis dan hiburan,” katanya selepas mengedarkan Buku Panduan Harga Pengguna Zon Selatan di Pasar Tani Larkin, di sini.

Akmal berkata sesi penerangan secara santai itu sudah pun dimulakan dengan menyasarkan pelajar universiti di Lembah Klang dan ia akan diteruskan di Tanjung Piai dan Pasir Gudang di Johor dalam masa terdekat.

Menurutnya generasi muda perlu tahu mengenai impak CBP terhadap harga barangan kerana mereka lebih banyak menggunakan sesetengah barangan dan perkhidmatan berbanding golongan lain.

Beliau berkata BNYV yang mempunyai 10,000 anggota di seluruh negara bersedia menyampaikan maklumat penting mengenai CBP supaya kefahaman orang ramai mengenainya dapat ditingkatkan.

Selain itu, katanya BNYV dalam proses menubuhkan pasukan guaman dalam usaha memberi nasihat guaman percuma berkaitan pelbagai bidang.

Sementara itu, Akmal berkata program mengedarkan Buku Panduan Harga Pengguna menerima sambutan baik daripada peniaga dan pengguna yang ingin tahu maklumat impak CBP terhadap harga barangan terutama barangan keperluan asas.

Buku panduan itu, yang dikeluarkan KPDNKK, memuatkan perbandingan harga sebelum dan selepas pelaksanaan CBP untuk lebih 500 barangan keperluan asas berdasarkan kajian Jabatan Kastam DiRaja Malaysia.

Ia turut mengandungi maklumat untuk pertanyaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan.

— BERNAMA

Langkah Kehadapan

Rakan-rakan BNYV,

BNYV adalah satu nama gah. Di lapangan, terutamanya di peringkat negeri sukarelawan kita terus menyusun dan melaksanakan pelbagai gerakan seperti enggesa dasar rumah mampu milik dilaksanakan (Siri Hello YB!), memberikan pemeriksaan perubatan kepada orang awam (BNYV Medic Team), merejuvenasikan kawasan bencana alam (Ops Banjir) mahupun menghubungkan dan merapatkan pemimpin dengan kawasan setempat.

Ramai sukarelawan kita telah diiktiraf sebagai pemimpin generasi akan datang sama ada di peringkat platform pengolahan dasar mahupun dalam parti-parti politik. Pada pilihan raya umum sebelum ini juga, kita telah memobilasikan sejumlah sukarelawan untuk membantu Barisan Nasional di salah satu pilihan raya yang paling kompetitif dan mencabar setakat ini.

BNYV yang dilancarkan pada 2012 ketika kemuncak gerakan kita, mempunyai lebih 10,000 sukarelawan.

Saya masih ingat ketika kita baru bermula, harapan dan semangat untuk menyumbangkan tenaga demi Barisan Nasional sangat tinggi. Semua ini boleh berlaku dalam BNYV tanpa perlu berhadapan dengan politik bahagian atau parti komponen.

Saya juga ingat ketika kita semua berada di dalam dewan PWTC. Terdetik dalam hati berkata, “Bukan aku seorang orang muda dengan BN”. Ia memberi keyakinan bahawa kita ini tiadalah kurang warasnya apabila menyokong BN.

BNYV pada asasnya mempunyai tiga teras utama:

  1. Menyediakan platform bagi orang muda untuk mendapatkan pengalaman terus dalam perjalanan kempen pilihan raya dan proses demokrasi di negara kita;
  2. Menyediakan satu platform orang muda secara sukarela berbakti kepada masyarakat;
  3. Dan yang paling mustahak untuk menggembleng dan mencari penyokong BN dan golongan neutral menyokong parti BN.

Melangkah ke hadapan, BNYV tahun 2015 akan ke arah memusatkan tumpuan kepada projek dan perkembangan Kerajaan BN yang mempunyai impak yang besar kepada Rakyat. Kita juga akan berusaha untuk menunjukkan nilai dasar dan polisi yang dijalankan oleh Kerajaan BN bertepatan dengan senario semasa dan seterusnya meyakinkan orang ramai bahawa BN adalah gabungan parti politik yang tepat untuk memerintah negara ini. Inisiatif kerajaan seperti “River of Life”, pembangunan Wilayah Iskandar dan kawalan harga barang melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 adalah antara inisiatif yang akan menjadi tumpuan kita.

Pada bulan hadapan, kita akan mengadakan satu siri kursus induksi sukarelawan bagi meningkatkan sumber tenaga kerja kami bagi menampung program-program baru yang akan dilancarkan sepanjang tahun. Saya berharap rakan-rakan akan turut serta dalam usaha kita untuk mengubah BNYV menjadi BNYV 2.0.

Selaras dengan tumpuan baru, saya juga ingin mengumumkan bahawa kita kini mempunyai laman web baru yang boleh di lawat di www.bnyv.my manakala Akaun Twitter kami masih @bnyvmy dan Akaun Page FB https://www.facebook.com/bnyvmy. Rakan-rakan boleh nantikan kandungan-kandungan baru di saluran media sosial di sana. Kepada siapa yang masih belum mendaftarkan diri sebagai sukarelawan di laman sesawang boleh daftarkan diri di www.bnyv.my/registration bagi membolehkan anda mendapatkan makluman yang terbaru berkaitan BNYV.

Bagi yang tidak tahu, kita telahpun memindahlan pusat operasi kita dari Bangsar ke Desa Sri Hartamas. Walaupun agak menyedihkan bagi kita meninggalkan tempat asal kita bergiat tetapi kita perlu komited untuk melaksanakan objektif kita dan Desa Sri Hartamas merupakan opsyen terbaik buat kita waktu ini. Saya menjangkakan kita boleh menggunakan pusat operasi baru ini bermula bulan hadapan.

Baik. Cukup hal berkaitan pentadbiran.

Mari kita berterus terang.

Keadaan sudah berubah, landskap pilihan raya tidak lagi seperti dulu. Dulu letak songkok pun BN boleh menang. Perkara yang sama tidak boleh dikatakan hari ini.

Tiada siapa boleh mengenepikan kekuatan Jentera Pilihan Raya BN. Jentera Pilihan Raya BN disokong dan digerakkan oleh individu-individu tanpa mengenal penat lelah.

Tetapi caranya sudah lama.

Jentera ini lebih kepada ‘personality driven’ orang-orang lama. Kita perlu darah baru agar ia boleh selari dengan cara kita orang muda. Kita memerlukan anda untuk melibatkan diri.

Sebenarnya, saya menulis e-mel ini kerana saya masih percaya kepada Barisan Nasional. Saya percaya bahawa cita-cita dan dasarnya untuk Rakyat terus kekal relevan. Saya percaya ia masih pilihan terbaik untuk memerintah negara ini.

Saya percaya bahawa BNYV berupaya menjadi pengubah corak permainan politik demi kebaikan BN. Kita tidak berada di sini untuk mengampu tetapi untuk menjadikan diri sendiri sebagai perubahan yang diimpikan kita untuk BN. Dan dalam kita melaksanakan perubahan ini, kita tidak akan bertolak ansur dengan dasar-dasar yang tidak akan memberi manfaat kepada rakyat. Kita perlu tegas. Kita perlu berani. Kita tidak boleh membiarkan kapitalis menentukan polisi yang hanya membenarkan mereka mengaut keuntungan dan Rakyat makin tersepit.

Kita jangan segan dan perlu terus berpegang kepada prinsip asal Barisan Nasional berjuang untuk rakyat, tidak kira di mana kita berada samada di pejabat, di dewan kuliah atau sedang duduk di atas sofa dengan cara dan kemampuan kita sendiri. Seperti apa yang Mahatma Gandhi pernah berkata, ‘Dengan cara yang lembut, anda boleh menggoncang dunia’.

Masanya kini.

Senario dan keadaan mungkin berbeza, tetapi cita-cita dan ideologi BN tetap sama. Kita berjuang untuk rakyat. BNYV bersama anda. Anda tidak keseorangan.

Sentiasa bersama,

Akmal Saufi Mohamed Khaled
Pengarah, BNYV